Sunday, 2 June 2019

MBKT Keluarkan Tujuh Kompaun RM50 Buang Sampah Merata-Rata

SHARE
Foto ihsan - Google
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan tujuh kompaun sebanyak RM50 serta-merta kepada individu yang membuang sampah merata-rata selepas dikuatkuasakan pada 27 Mei baru-baru ini bagi  memastikan kebersihan bandar raya ini terutama kawasan sekitar jambatan angkat.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan kepada  individu yang melakukan kesalahan tersebut di kawasan sekitar Pesisir Payang dan Taman Shahbandar dalam tempoh lima hari dilaksanakan.

“Penguatkuasa yang ditugaskan untuk melaksanakan peraturan baharu itu memantau sepanjang waktu puncak ketika berbuka puasa dan sebelum individu berkenaan meninggalkan kawasan tersebut yang mana kita dapati ada segelintir melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata.

“Jika sebelum ini, penguatkuasa memberi nasihat dari semasa ke semasa namun selepas beberapa hari masih terdapat lagi kesalahan yang sama dilakukan maka kompaun RM50 dikeluarkan bagi menyedarkan mereka,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Tambahnya, dari tujuh kompaun yang dikeluarkan, hanya seorang yang gagal membayarnya dan akan didakwa sebanyak RM250 namun boleh membuat rayuan dengan budi bicara Datuk Bandar.

Shahidan berkata, selepas pelaksanaan kompaun berkenaan terdapat perubahan positif dengan pengurangan kadar pembuangan sampah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Saya harap dengan keberkesanan penguatkuasaan ini, mereka rasa gerun dan mereka buang sampah di tong yang disediakan.

“Pihak berkuasa tempatan terpaksa mengambil pendekatan tegas itu bagi memastikan persekitaran bandar raya Kuala Terengganu kekal indah dan kadang kala tindakan seumpama itu perlu dibuat untuk memberi kesedaran," katanya.

Menurutnya lagi, seramai 50 anggota penguat kuasa MBKT yang berpakaian preman akan ditempatkan di Pesisir Payang dan Taman Shahbandar dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam setiap hari bagi menguatkuasakan peraturan terbaharu terbabit.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: