Monday, 24 June 2019

MB Terengganu Ziarah Keluarga Allahyarham Penyelia i-MiTS

SHARE


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 24 Jun- Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menziarahi keluarga Penyelia i-MiTS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Mohamed Ibrahim Sini Mohamed, 60, yang meninggal dunia ketika menghadiri Muktamar PAS di Kuantan, Pahang Sabtu lalu.

Dr Ahmad Samsuri yang juga merangkap Naib Presiden PAS tiba di rumah keluarga allahyarham di Kampung Molek, di sini bersama pimpinan PAS negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) petang semalam.

Beliau menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas kehilangan insan yang banyak menyumbang bakti dan tenaga dalam perjuangan parti itu.

“Penglibatan allahyarham dalam perjuangan PAS seawal usia remaja, menjadikan beliau seorang yang sangat patuh dan taat kepada parti.

“Sangat besar jasa dan pengorbanan, sifat serta sikapnya yang sangat komited dalam perjuangan Islam menjadi contoh dan tauladan kepada generasi muda,” ujarnya kepada pemberita selepas mengziarahi keluarga allahyarham.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan allahyarham Mohamed Ibrahim.

Beliau menyifatkan allahyarham yang juga Setiausaha Majlis Tindakan DUN (MTD) Sura adalah seorang rakan, guru dan banyak menjadi rujukan serta sering kali menasihatinya dalam pengurusan jentera DUN dan pemergian allahyarham memberikan tamparan hebat buat parti.

Wan Hapandi berkata, allahyarham adalah seorang yang sangat istiqamah kepada perjuangan parti dan banyak berkorban dijalan Allah S.W.T.

“Kami kehilangan sebutir permata yang banyak berkorban dan mewakafkan diri dan keluarganya bagi meninggikan kalimah Allah Taala.

“Kami bersaksi bahawa arwah sangat bersungguh dalam amanah yang dipikulnya dan keikhlasan perjuangannya selama ini," ujarnya yang juga Pengarah MTD Sura.


Mohamed Ibrahim yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang akibat serangan jantung kira kira jam 10:35 malam, Sabtu lalu.

Jenazah allahyarham selamat dimandikan dan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya , Kampung Molek kira-kira 10.30 pagi semalam.

Solat jenazah diimamkan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun merangkap Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah Imits Negeri Terengganu, Kamarulzaman Abdullah serta hampir 1,000 orang warga DUN Sura.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: