Tuesday, 18 June 2019

Klinik Kesihatan Marang Baharu Mula Operasi

SHARE

Oleh: Aziz Hambali
Foto: Khairan Asmawi

MARANG, 18 Jun- Klinik Kesihatan Marang baharu menggantikan bangunan lama, mula beroperasi semalam.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusuf menyifatkan Klinik Kesihatan Marang yang baharu ibarat 'bersalin kulit' kerana bangunan lama tidak lagi digunakan.

Katanya, kini komuniti daerah itu boleh menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan klinik berkenaan yang terletak di Kampung Kijing dengan lebih selesa.

Beliau berkata, meskipun kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh kerajaan PAS berbeza dengan kerajaan pusat yang dikuasai Pakatan Harapan (PH), namun hasil kerjasama yang baik kedua-duanya menatijahkan manfaat buat rakyat.

"Segalanya untuk rakyat. Kerajaan Terengganu meraikan dengan baik usaha Kementerian Kesihatan dan alhamdulillah bangunan klinik ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Rakyat bukan sahaja dapat klinik baharu, tetapi peralatan juga baharu dan canggih malah kakitangan juga akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Terima kasih buat semua yang terlibat dalam pembinaan dan pengurusan klinik ini terutama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Perkhidmatan Klinik Kesihatan Marang, semalam.


Majlis pelancaran perkhidmatan Klinik Kesihatan Marang telah disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh.

Turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sementara itu, salah seorang Medical and Health Officer (MHO) Klinik Kesihatan, Farhan Ali, 33, ketika ditemui berkata, dengan wujudnya Klinik Kesihatan Marang keadaan bangunan baharu, prasarana dan suasana yang kondusif ini, dapatlah membantu pesakit dan pekerja di klinik ini menikmati kemudahan tersebut.

"Lebih-lebih lagi, jika di klinik lama dahulu kita memiliki ruang ‘parking’ yang sempit ianya amat menyusahkan sehinggakan ada pesakit yang terpaksa ‘parking’ di hadapan Masjid Sultanah Nur Zahirah berdekatan dengan klinik tersebut," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: