Monday, 3 June 2019

Kerajaan & Polis Terengganu Lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri

SHARE
Hanafiah Mat memakaikan helmet percuma kepada penunggang motosikal bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
KEMAMAN, 3 Jun - Kerajaan negeri bersama beberapa agensi yang diketuai oleh Polis Kontinjen Terengganu telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya untuk mendidik pemandu supaya lebih berhemah ketika memandu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri berbesar hati dengan seluruh agensi kerajaan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa pertubuhan yang menjayakan program itu.

Jelasnya, kempen sempena Aidilfitri tersebut diharap mampu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.

“Saya mengharapkan bahawa pengguna jalan raya memandu dengan berhemah semasa berada di jalan raya, walaupun semua ingin pulang ke kampung dengan cepat, tetapi aspek keselamatan perlu diambil berat.

“Justeru, semua arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlaku apa-apa tragedi hendaklah dipatuhi, kempen ini juga tidak terhenti setakat sambutan ini, bahkan berterusan selepas Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen tersebut di Pintu Gerbang Kemaman-Kuantan, Chukai, di sini semalam.
Dato' Aidi menegaskan, pihaknya akan meningkatkan kawalan anggota polis di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Osman A. Bakar, ketua-ketua jabatan dan beberapa wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail yang turut hadir dalam program itu berkata, kempen yang bermula 29 Mei hingga 12 Jun tersebut melaksanakan pendekatan secara ‘total enforcement’.

Selain itu, perkhidmatan kepada pengguna jalan raya seperti rondaan turut dijalankan bagi memastikan kelancaran lalu lintas berada pada tahap terbaik.

“Kaedah ‘total enforcement’ kita lakukan penguatkuasaan ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan dan kesesakan lalu lintas, seperti kawalan had laju, lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan.

“Saya juga menyeru agar pemandu memandu dengan penuh berhemah, ini bagi memastikan perjalanan kita lancar dan selamat serta jangan biarkan keluarga menanti kepulangan orang tersayang dalam tangisan,” katanya.

Edaran 'goodies' kepada perantau dan pengguna jalan raya turut dijalankan semsa pelancaran kempen.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: