Sunday, 30 June 2019

Kerajaan Negeri Tidak Haramkan PUBG

SHARE

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Kerajaan negeri tidak bersetuju jika permainan dalam talian Player Unknown’s Battleground (PUBG) diharamkan kerana dikaitkan dengan sentimen keganasan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan terburu-buru untuk mengharamkan permainan dalam talian itu yang didakwa banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat.


“Setiap teknologi, walaupun boleh membawa keburukan tidak boleh diharamkan dengan mudah sebaliknya perlu melihat kepada penggunaan dan yang penting jangan menggunakan pada tempat yang tidak diizinkan.

“Di Terengganu, undang-undang merupakan pendekatan terakhir yang kita ambil kerana bukan semua perkara perlu menggunakan saluran undang-undang dan mahkamah, sebaliknya pendekatan utama adalah melalui pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Jenayah Syariah Di Alam Siber di Hotel Permai.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah negeri, Mustafar Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Majlis Ulama Aceh (MPU) yang mengeluarkan fatwa mengharamkan PUBG, seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.


Katanya, pendekatan pendidikan yang diambil oleh kerajaan negeri itu adalah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang kuat sekali gus mampu menghindarkan mereka dari terjebak dengan anasir yang kurang sihat.

“Pendekatan yang kita ambil ialah pendidikan. Mendidik masyarakat bukan bermakna kita tolak teknologi kerana yang penting untuk melindungi masyarakat supaya mempunyai jati diri dan kesedaran agar tidak menggunakan ruang yang ada untuk melakukan perkara bercanggah undang-undang,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah berbincang dan melantik jawatankuasa ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: