Monday, 17 June 2019

Kerajaan Negeri Tambah Baik Laluan ‘Pantai Miami’ - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri akan menambah baik laluan di sepanjang Jalan Ketapang Pantai Baru bagi memberi keselesaan kepada para pengunjung.

Laluan yang menghala ke Jambatan Angkat atau ‘Drawbridge’ itu merupakan pusat rekreasi baharu mirip Pantai Miami di Florida yang mendapat perhatian pengunjung termasuk dari luar sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sejak laluan terbabit dibuka serentak dengan Jambatan Angkat untuk tempoh percubaan, pihaknya mendapati banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Saya sudah maklumkan kepada agensi berkenaan, dalam tempoh penutupan ini kita akan duduk dan bincang balik apa yang boleh kita tambah baik.

“Sebab kita tahu, laluan yang cantik itu orang akan berhenti untuk mengambil gambar, kita akan melihat balik perkara ini dan mungkin ada penambahbaikan seperti tempat khusus untuk berhenti dan juga lampu isyarat di kawasan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Dataran Shah Bandar, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, timbul rungutan daripada beberapa pihak  apabila keindahan pantai peranginan itu dicemari dengan sikap mementingkan diri pengunjung yang boleh dilihat dengan ketara ketika meletakkan kenderaan di kawasan itu.

Laluan khas disediakan kepada penunggang basikal dan pejalan kaki digunakan untuk meletakkan kenderaan sekali gus mampu mengundang bahaya kepada pengguna lain.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, sukar baginya untuk mengubah sikap pengunjung yang berhenti di tempat yang tidak dibenarkan.
“Apabila Jambatan Angkat itu dibuka secara rasmi nanti, kita akan melakukan penguatkuasaan lebih baik di sepanjang laluan itu,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: