Saturday, 15 June 2019

Kerajaan Negeri Majukan Sekolah DAR

SHARE
Foto - Hishamuddin Abdullah
KEMAMAN, 15 Jun - Kerajaan negeri akan mencari jalan bagi membantu Sekolah Rendah Islam (DAR) di Terengganu supaya teras dan visi yang dipegang guru-guru DAR akan terus kukuh dan berkembang.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersedia membantu guru-guru dari pelbagai segi termasuk meningkatkan latihan, pembelajaran dan sebagainya.

"Walaupun bukan di bawah kerajaan negeri, kita berpandangan bahawa kita boleh berperanan membantu untuk meningkatkan cara pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.



"Ini kerana sekolah-sekolah DAR merupakan institusi yang berada di dalam negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Raya Sekolah-sekolah DAR Kali Ke-3 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.



Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua Perbandaran Kemaman, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah dan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ismail Osman.

Dr. Samsuri turut memaklumkan, walaupun kini PAS menjadi kerajaan yang memerintah negeri Terengganu, kerajaan negeri tidak akan mengambil alih sekolah DAR sebaliknya menghormati teras dan matlamat penubuhan institusi tersebut.

"Setiap sekolah ini ada sejarah mereka tersendiri. Ada yang dibina hasil usaha individu dan sebagainya, jadi tidak adil untuk kita ambil alih begitu sahaja.

"Kebebasan dari segi pendidikan masih dijamin dalam perlembagaan negara, maka ibu bapa ada hak masing-masing untuk mengusahakan sistem pendidikan anak-anak," katanya.

Sekolah DAR merupakan institusi pendidikan agama rakyat yang diwujudkan di bawah Jabatan Tarbiah dan Lajnah Persekolahan Dewan Ulama PAS.

Di Terengganu, terdapat 11 buah DAR dengan jumlah guru sebanyak 315 orang serta 4,426 murid keseluruhannya.

Bagi peringkat menengah, Jabatan Tarbiah dan Lajnah Persekolahan Dewan Ulama PAS turut mewujudkan Maahad Darul Quran di Rusila serta Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah di Kubang Lembek bagi peringkat pengajian tinggi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: