Monday, 24 June 2019

Kerajaan Negeri Dan TM Jalin Kerjasama Pintar

SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM)  kini dalam proses merangka satu penyelesaian yang bersepadu  untuk faedah rakyat serta perkembangan sektor ekonomi di Terengganu agar dapat dipertingkatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, antara projek berkaitan Teknologi Maklumat (IT) yang boleh diadakan kerjasama pintar antara kerajaan negeri dan TM adalah penambahbaikan “ State Wifi ”, sistem capaian maklumat untuk rakyat dengan menggunakan kemudahan IT serta IOT (Internet of Things) untuk sektor pelancongan, perindustrian, pertanian, pendidikan, dakwah dan sebagainya.

“Dalam era teknologi maklumat ini, penyelesaian-penyelesaian berasaskan IT serta IOT  sektor pelancongan di negeri ini dapat dimajukan lagi sama ada dari segi memperkenalkan pelancong kepada tempat-tempat menarik untuk dilawati, menarik pelancong datang ke Terengganu serta berkongsi pengalaman manis di negeri ini bagi menarik lebih ramai rakan atau kenalan mereka untuk berkunjung.

“Semua pihak perlu mengambil peranan untuk menjadikannya satu “ecosistem” , contohnya pelancongan dengan tempat yang menarik, keselamatan yang terjamin, kemudahan akses maklumat, kebersihan, sikap penduduk dan sebagainya yang memainkan peranan penting bagi industri pelancongan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel: Ke Arah Terengganu Lestari - Maju Berkat Sejahtera di  Paya Bunga Hotel Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya, bengkel yang diadakan bertujuan untuk merangka pengalaman dan penyelesaian digital bagi negeri Terengganu yang lebih melibatkan  kepada sektor pelancongan dan IT serta sistem capaian atau laporan khusus mengikut keperluan di negeri.

“Dengan adanya bengkel seperti ini, saya percaya isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat serta keperluan negeri dapat diketengahkan secara berfokus dan jalan penyelesaian juga dapat diambil secara berkesan.

“Saya juga percaya kerjasama yang lebih erat boleh terus diadakan antara pihak kerajaan negeri bersama TM. Antara projek yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah projek Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR),” tambah beliau.

Walau bagaimanapun katanya, sektor-sektor lain juga boleh diketengahkan atau bengkel-bengkel seperti ini boleh diadakan pada skala yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: