Saturday, 1 June 2019

Jangan Mudah Jatuhkan Hukuman Kepada Bekas Pesalah Jenayah

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Jun -  Masyarakat sewajarnya tidak mengambil peranan Tuhan dengan menghukum bekas pesalah jenayah seolah-olah mereka tidak boleh kembali ke pangkal jalan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bekas pesalah jenayah harus diberi ruang dan peluang untuk kembali hidup dalam masyarakat.

"Setiap kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan, setiap anak Adam semuanya melakukan kesilapan, dan sebaik-baik anak Adam apabila tersedar dari kesilapan segera bertaubat dan pulang ke pangkal jalan.

" Sejarah silam yang dilalui bukan tiket untuk terus menghina, mencaci maki, dan mensisihkan golongan berkenaan. Jangan takut dengan mereka, berilah kesempatan untuk perbaiki kesilapan di masa yang lalu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, ketika memberi kaunseling dan nasihat kepada peribadi individu yang sedang menjalani hukuman Perintah Sekatan Buang Daerah, di DUN Bukit Besi, semalam.

Menurut Ghazali, beliau tidak keberatan untuk menjadikan individu berkenaan sebagai seorang saudara,  tanpa adanya perasaan takut serta bimbang.

"Kerana semua manusia tidak selama-lamanya akan melakukan kesilapan yang sama.

" Apatah lagi apabila menyedari kesilapan mereka berkenaan segera mencari surau dan masjid mendekatkan diri kepada Allah, "ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang individu yang enggan didedahkan namanya, berkata dia amat terharu apabila didekati oleh Ghazali Sulaiman.

" Mendengar nasihat dari Haji Ghazali membuatkan saya seolah-olah baru tersedar dari lamunan, yang mana sebelum ini saya merasakan saya tiada peluang untuk berubah, semua orang dan masyarakat takut kepada saya.

" InsyaAllah sejarah silam kehidupan saya akan dijadikan pedoman untuk saya menempuhi hari-hari yang mendatang," jelasnya.

Tambahnya, kerana perbuatan masa lampaunya itulah yang membawa kemusnahan kepada dirinya, serta telah bercerai dengan isterinya, runtuh rumah tangga yang telah dibina.

" Kini saya akan cuba untuk mengumpulkan kekuatan dan membina kehidupan yang baru, saya mengharapkan agar saya diberi kesempatan untuk bersama-sama didalam masyarakat serta dapat menyumbangkan khidmat dan tenaga untuk bersama-sama masyarakat demi membina kehidupan yang lebih baik, serta meninggalkan jauh apa yang saya lalui di zaman silam, "jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: