Wednesday, 12 June 2019

Jangan Lupa Syukuri Nikmat Sihat - Dr. Azman

SHARE

Dr. Azman beramah mesra dengan salah seorang pesakit yang diziarahi.


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 12 Jun –  Nikmat masa lapang dan sihat sering diabaikan manusia sehingga terlupa mensyukurinya dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi setiap larangan-Nya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim mengingatkan agar setiap  individu mensyukuri nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah SWT walaupun dalam kegembiraan meraikan kemenangan di bulan Syawal ini.

“Dalam kesibukan menyambut Aidilfitri bersama kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga di kampung halaman, luangkan masa untuk menziarahi mereka yang kurang berkemampuan dan sakit bagi meraikan mereka.

“Amalan ziarah-menziarahi bukan sahaja dapat membina hubungan baik malah mengingatkan kita akan kurniaan nikmat kesihatan agar lebih bersyukur,” nasihatnya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman selepas menziarahi beberapa penduduk Jabi yang ditahan wad di Hospital Besut, baru-baru ini.

Turut hadir Penolong Penyelia Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Jabi, Zakaria Mahmud, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Mat Rahim Mat Nor dan Pengerusi MPKK Jabi, Ab. Rahim Ghazali.

Dalam lawatan tersebut juga, Dr. Azman turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas di Kampung Kuala Kubang, Mek Yam Mat Akib,77 tahun.

Menurutnya, dalam tempoh setahun, hampir 30 buah kerusi roda telah diagihkan untuk warga Jabi yang memerlukan.

“Diharapkan dengan adanya kerusi roda akan memudahkan urusan seharian. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan saudara- saudara kita yang berada dalam keuzuran,” katanya.

Mek Yam mencuba kerusi roda yang diterima.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: