Sunday, 16 June 2019

Hatrik Sanjar Serlah kebangkitan Terengganu FC

SHARE
Sanjar pamer aksi menakjubkan dalam perlawanan semalam.


KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Tiga gol penyerang Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov membantu Terengganu Football Club (TFC) bangkit untuk keputusan seri 3-3 ketika berhadapan Melaka United dalam aksi Liga Super Malaysia (MSL), malam tadi.

Bertandang ke Stadium Hang Jebat selepas rehat panjang sempena Aidilfitri, Terengganu FC yang hadir tanpa kelibat pertahanan import bergelut menahan asakan tuan rumah seawal minit pertama perlawanan.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu mendahului hasil jaringan penyerang baharu mereka, Davy Claude Angan dari Ivory Coast pada minit ke 17 yang menerima umpanan jauh Dominik Balic di belakang pertahanan lawan.
Dechi Marcel bina rangkaian sempurna dalam jentera tengah TFC.

Kubu Sang Penyu terus dihukum apabila Luka Milonovic pula berjaya melepasi perangkap offside lalu mudah menewaskan penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah pada minit ke 31.
Bagaimanapun, anak buah Nafuzi Zain tidak menyerah.

Jentera tengah pelawat yang dibarisi Sanjar, Sharin Sapien dan Dechi Marcel, yang membuat penampilan sulung setelah dinaikkan daripada Terengganu FC II pada awalnya longgar mula kompak merencana serangan-serangan kepada tuan rumah.

Hasilnya, pada minit ke-41, Sanjar berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti untuk merapatkan jurang gol.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Melaka United cuba mematikan kebangkitan pelawat dengan Angan sekali lagi memenangi situasi satu lawan satu berhadapan Ilham pada minit ke-48, menjarakkan skor kepada 3-1.

Terengganu FC mendapat peluang merapatkan kedudukan setelah Lee Andrew Tuck dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-59. Namun, kecekapan Khairul Fahmi menafikannya.

Ketika keputusan dijangka kekal sehingga tamat perlawanan, pemain Terengganu FC berjaya mencipta ‘10 minit terbaik’ pasukan mereka.

Bermula pada minit ke-72, Sanjar sekali lagi melakukan rembatan menarik dari luar kotak penalti tepat ke bucu kanan gol melepasi Khairul Fahmi.

Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan dan berselang sepuluh minit kemudian, bola tampanan Khairul Fahmi dirembat mudah Sanjar meleburkan hasrat Melaka United meraih tiga mata berharga.

Terengganu FC kini berada di tangga ke-7 dengan 21 mata, dua mata di belakang Melaka United yang berada di kedudukan ke-5 liga.  
 
Persembahan taktikal Nafuzi mula dapat perhatian penyokong TFC.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: