Thursday, 20 June 2019

Golden Pharos Berhad Umum Dividen RM1.7 Juta Setelah 11 Tahun

SHARE
Dato' Tengku Hassan umum berita gembira buat pemegang saham GPB.
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Golden Pharos Berhad (GPB), anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan bayaran dividen buat kali pertama selepas 11 tahun, kali terakhir pada tahun 2008 dengan jumlah sebanyak RM1.8 juta.

Pengerusi Jawatankuassa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pembayaran dividen itu berjumlah 1.27 sen bagi setiap unit saham biasa dengan jumlah keseluruhan RM1.7 juta. 

“Pembayaran dividen ini diputuskan setelah kita mencatat keuntungan tujuh kali berturut-turut (selama 21 bulan) sejak suku ketiga 2017 dengan peningkatan sebanyak 264 peratus iaitu sebanyak RM1.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18).


“Keuntungan ini juga merupakan prestasi terbaik syarikat dengan peningkatan hasil sebanyak 13 peratus lebih tinggi kepada RM74.12 juta berbanding RM65.64 juta sebelum ini yang mana kebanyakannya disumbangkan oleh sektor pembalakan dan pengilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan GPB kali ke-31 di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato’ Nadza Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Dato' Nadza harap prestasi kekal positif.
Dalam perkembangan sama, Dato’ Nadza turut berharap prestasi GPB akan terus positif dengan jangkaan positif ekonomi Malaysia berdasarkan data jangkaan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Pada tahun 2019 ini, BNM menjangkakan ekonomi negara akan meningkat sebanyak 4.3 peratus dan kita jangkakan perkembangan syarikat akan sejajar dengan peningkatan ini,” katanya.

GPB memiliki kawasan pembalakan seluas 129,000 hektar di bawah perjanjian konsesi bersama kerajaan negeri. Setiap tahun hanya 2,600 hektar boleh diusahakan hasil berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT).

Bagaimanapun, GPB juga mengusahakan program Ladang Hutan untuk menggantikan balak-balak yang telah ditebang.

“Selain itu, berbeza dengan syarikat perladangan lain, rasional kita mengadakan Ladang Hutan adalah untuk membekalkan kayu kepada anak syarikat kita iaitu Permint Plywood Sdn. Bhd.,” katanya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: