Sunday, 2 June 2019

EPIC Berhad Terengganu Sumbang RM15,000 Kepada Lima Pusat Tahfiz

SHARE
Ahmad Amzad menyaksikan serahan replika cek daripada pegawai EPIC kepada wakil tahfiz.


Oleh : Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad telah menyumbangkan RM15,000 kepada lima pusat tahfiz di Parlimen Kuala Terengganu pada khamis lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, program di bawah Tanggungjawab Sosial korporat (CSR) itu merupakan sumbangan sempena Ihya Ramadan yang menyaksikan setiap pusat tahfiz menerima RM3,000 untuk menjalankan aktiviti harian.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan EPIC berkata, pihaknya melalui anak syarikat kerajaan negeri akan berusaha memperbesarkan dan meluaskan nilai serta bantuan pada tahun hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

“Sekiranya mampu capai sasaran keuntungan syarikat lebih besar pada tahun hadapan. Bukan sekadar ini, kita akan usahakan ruang lebih baik lagi, dalam masa yang sama, EPIC juga telah berbelanja lebih RM100,000 pada Ramadan ini bagi meraikan anak-anak yatim.

“Antara program lain yang telah dianjurkan oleh EPIC Berhad pada Ramadan ini bagi meraikan anak-anak yatim ialah pembelian baju raya percuma kepada 130 orang dan juga iftar anak-anak yatim yang telah dibuat pada minggu lepas di Hotel Paya Bunga Square,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis penyerahan cek kepada lima pusat tahfiz berkenaan, di Tahfiz AR Rahmah, Kuala Bekah.

Turut hadir mengiringi Ahmad Amzad ketika majlis penyerahan itu ialah Pegawai EPIC Berhad, Abd Adzim dan Badrul Abu Bakar.

Sumbangan itu melibatkan Madrasah Tahfiz As-Sabiqun, di Bukit Kubang Jambu, Maahad Tahfiz As Syifa’, di Kuala Ibai, Tahfiz Al Faruqi, di Bukit Kecil, Tahfiz Ar Rahmah, di Kuala bekah dan Madrasah Al Muhsinin, di Losong.

Program berkenaan juga bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak EPIC Berhad dan pusat-pusat tahfiz di sekitar Kuala Terengganu serta masyarakat setempat.

Selain daripada itu, program CSR tersebut diharapkan dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan terutamanya di bulan Ramadan dan seterusnya dapat membantu mereka dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: