Friday, 14 June 2019

Enggan Ikut Serta, Petanda Pergi Selamanya

SHARE
Kemalangan di Kilometer 64, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Rantau Abang, di sini semalam.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 14 Jun - Keengganan Ahmad Syaqiq Balkhi Ahmad Fauzi, 16, pada awalnya untuk turut sama menyertai keluarga menghantar abangnya ke Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah merupakan petanda beliau pergi untuk selama-lamanya.

Menurut ibunya, bagaimanapun arwah yang menuntut di Kolej Al-Quran Terengganu, Padang Midin, akhirnya bersetuju untuk ikut serta setelah dipujuk.

“Saya menghubungi arwah dan mengajaknya ke Kuala Nerang menghantar abangnya itu. Arwah pada mulanya tidak mahu ikut kerana baru mula belajar selepas lama bercuti raya Aidilfitri.

“Bagaimanapun, selepas dipujuk, arwah bersetuju dan menyuruh abangnya menjemputnya di kolej pada petang sebelum kejadian.

“Saya tak sangka keengganannya mengikut kami sebenarnya isyarat arwah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Kemalangan pada kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dipandu abang mangsa, Ahmad Balhaqi Fathi, 18, terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang telefon di tepi jalan.

Ahmad Syaqiq yang tersepit di tempat duduk hadapan berjaya dibawa keluar penduduk kampung sebelum dia dan abangnya yang turut cedera, dikejarkan ke Hospital Dungun.

Ahmad Syaqiq disahkan meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Dungun setelah terlibat di dalam kemalangan di Kilometer 64, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Rantau Abang, di sini semalam.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun turut menziarahi keluarga Allahyarham di Hospital Dungun.

"Semoga keluarga ini tabah menerima ketentuan Allah yang Maha Penyayang dan ditempatkan dalam kalangan orang yang yang soleh," ujar beliau dengan nada sebak ketika ditemui.

Dalam tumpuan sama, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: