Sunday, 2 June 2019

Drawbridge Terengganu Akan Dijenamakan

SHARE
Ustaz Mohd Nor memimpin bacaan doa untuk keselamatan pengguna-pengguna jalan raya di drawbridge.
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Kerajaan negeri akan menjenamakan Jambatan Angkat (Drawbridge) Muara Sungai Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, urusan itu telah diserahkan kepada pihak tertentu dan Kerajaan Terengganu akan mengumumkan namanya setelah  keputusan dibuat oleh pihak berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Solat Hajat di Dewan Seminar Tingkat 3 Drawbridge itu lewat malam semalam.

Solat hajat itu diadakan sempena pembukaan  jambatan itu pagi ini dan ia diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah,  Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.

Kira-kira 50 orang dari pelbagai agensi termasuk pihak pengurusan drawbridge, UPDI dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) turut serta dalam solat tersebut.

Ustaz Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, kerajaan negeri hanya membenarkan orang ramai melalui jalan raya di drawbridge tersebut dengan kenderaan sahaja.

Orang ramai tidak dibenarkan mengambil gambar di atas jambatan itu dan ia hanya untuk laluan kenderaan sahaja.

"Pihak berkuasa dan pengawal keselamatan drawbridge tidak membenarkan pejalan kaki melalui jambatan tersebut.

Solat hajat di tingkat 3 drawbridge diimamkan oleh Ustaz Mohd Nor.
"Dan kita hanya buka laluan untuk kenderaan sahaja mulai hari ini hingga 17 Jun ini untuk sementara, belum ada perasmian lagi dan ia hanya sebagai percubaan sahaja," jelasnya.

Katanya, drawbridge itu kini siap sepenuhnya tetapi ada ruang-ruang tertentu belum diserahkan lagi kepada pihak pengusaha-pengusaha tertentu bagi menjalankan operasi restoran dan lain-lain di jambatan tersebut.

"Jambatan berkenaan jika dibuka secara rasmi nanti ia akan memberi impak yang besar kepada industri pelancongan negeri Terengganu.

"Dengan adanya drawbridge ini kita yakin hasrat untuk menggamit jumlah lima juta pelancong ke Terengganu akan tercapai," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: