Wednesday, 19 June 2019

Belia Perlu Manfaatkan Masa Lapang - Azbi Salleh

SHARE

Oleh: Saifullah Jusoh 

BESUT, 19 Jun - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh menasihatkan golongan belia agar  memanfaatkan masa lapang dengan perkara yang berfaedah. 

Ini kerana katanya, ada sesetengah anak muda pada hari ini lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak, bermain 'video game' dan berlumba haram.

Justeru itu jelasnya,  anak muda perlu bijak mengatur langkah sekali gus memanfaatkan masa terluang agar ianya memberi kebaikan kepada diri sendiri, masyarakat dan juga agama.


Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kampung Lampu dan Beris Lampu di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Beris Lampu di sini baru-baru ini.

Katanya, anak muda boleh bersosial tetapi dalam lingkungan batas syariat.

"Dalam kita bermain dan berhibur, kita wajib melakukan perkara yang disuruh oleh agama dan meninggalkan perkara yang dilarang.

"Pemakaian dan adab pergaulan kita perlulah menitikberatkan soal dosa dan pahala agar kita tidak terlibat dengan maksiat," ujar beliau.


Sementara itu, kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu telah dimenangi oleh pasukan Kampung Alor Teratai dengan  menewaskan pasukan Beris Lampu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lampu, Wan Saidi Said dan Pengerusi MPKK Kampung Lampu, Zulkeple Wahab.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: