Friday, 14 June 2019

'Bandingkan Terengganu Dengan Kebersihan Di Jepun' - ADUN Tepoh

SHARE
Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.
MARANG, 14 Jun - Negeri Terengganu seharusnya mencontohi amalan kebersihan di negara Jepun yang menjadi sebutan masyarakat dunia.

Ini kerana masyarakat bukan Islam Jepun menjuarai dan dicontohi dunia dalam amalan budaya tersebut berbanding amalan umat Islam hari ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, sepatutnya amalan  kebersihan dipelopori oleh orang Islam kerana Nabi SAW sendiri menggalakkan amalan itu melalui sabdanya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud setinggi-tinggi iman ialah kalimah 'La Ilaha Illallah' sementara serendah-rendah iman ialah membuang duri di jalanan.

Katanya, Nabi juga bersabda yang bermaksud kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Bagaimanapun katanya, amalan menjaga kebersihan itu menjadi kebiasaan rakyat negara Jepun bukan  orang Islam di negara mereka.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Katanya, dunia kagum dengan kebersihan yang menjadi amalan masyarakat Jepun walaupun bukan entiti Islam.

Beliau berkata, kebersihan di Jepun tersebar luas melalui media sosial dan dikenali di seluruh dunia.

Sepatutnya kata Hishamuddin, amalan berkenaan dipelopori oleh umat Islam bukan sebaliknya.

"Heboh di media sosial bahawa di negara Jepun ikan boleh di pelihara dalam longkang. 

"Ertinya, nak tengok tempat bersih pergi ke negara Jepun bukan pergi ke negara umat Islam," jelasnya.

Justeru tambahnya amat jauh bezanya amalan menjaga kebersihan  antara orang Jepun jika dibandingkan dengan umat Islam sendiri.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: