Wednesday, 12 June 2019

Atlet Terengganu Impi Cemerlang Di Kejohanan Silat ASG

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan negeri meletakkan harapan dan doa kepada kontinjen Silat Terengganu yang bersaing dalam Kejohanan Silat ASEAN School Games (ASG) di Air Keroh, Melaka yang bermula semalam.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali merakamkan hasrat supaya kontinjen tersebut dapat menggondol kejayaan dan kemenangan dalam saingan kali ini.

 “Pasukan kita telah menjalani sesi latihan dalam bulan Ramadan lalu dan latihan ini kena pada masanya kerana dalam bulan Ramadan, umat Islam banyak mencipta sejarah gemilang.

“Ramadan adalah suatu masa yang paling sesuai untuk kita latih jiwa dan semangat kita, maka ia sepatutnya memberi kekuatan kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Silat di Gerbang Silat Majlis Sukan Negeri Terengganu, kelmarin.


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu serta ahli jawatankuasaSilat Pesaka Terengganu.

Yahaya turut mengingatkan supaya para atlet berusaha penuh kesungguhan dalam merebut tempat untuk mewakili Malaysia di ASG 2019 yang bakal berlangsung di Semarang, Indonesia pada Julai nanti.

“Memang kita hendak menang, tetapi ketahuilah kejayaan tidak datang bergolek tanpa diiringi usaha,” katanya seraya memohon sokongan rakyat Terengganu untuk mendoakan kejayaan pasukan itu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: