Wednesday, 12 June 2019

Aspek Keselamatan Drawbridge Ditambah Baik - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan melalui proses penambahbaikan selepas ia dibuka untuk tempoh percubaan selama dua minggu bermula 2 Jun lalu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa kelemahan dalam aspek keselamatan dan kelancaran trafik di jambatan angkat itu sudah dikenal pasti termasuk palang penghadang yang diletakkan di bahagian kiri dan kanan jambatan itu.

“Kita lihat palang penghadang yang ada di kiri dan kanan jambatan angkat itu agak rendah dan perlu dibuat penambahbaikan supaya nanti tidak membahayakan pejalan kaki termasuk risiko terjatuh ke dalam air.

“Apapun kita berpuas hati kerana pembinaan jambatan angkat ini mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud sepanjang ia dibuka untuk tempoh percubaan sehingga Isnin ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratary (Pi Lab) SMK Panji Alam Dalam Pertandingan Euroinvent 2019 Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Panji Alam, Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood.

Katanya, operasi jambatan angkat yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu itu berjaya mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud, terutama pada waktu puncak sepanjang minggu pertama Aidilfitri.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: