Sunday, 23 June 2019

300 Peserta Turun 'Pikat' Sotong Di Marang

SHARE
Peserta teruja candat sotong beramai-ramai.
MARANG, 23 Jun - Sekitar 300 peserta menyertai pertandingan sempena Pesta Candat Sotong Marang 2019 yang pertama kali diadakan di daerah tersebut.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil memaklumkan, sebanyak 30 buah bot disediakan untuk program berkenaan.

“Tahniah kepada Pejabat Daerah dan Tanah Marang atas usaha yang dilakukan oleh kakitangannya dalam program ini.

Datuk Tengku Farok melepaskan peserta Pesta Candat Sotong 2019.
"Mencandat sotong ini merupakan tarikan kepada daerah Marang dan ini adalah satu inisiatif mempromosikannya sebagai satu destinasi pelancongan dalam negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan peserta candat di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ketua Pengarah Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dato' Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

Dalam perkembangan sama, Tun Faisal menyatakan, program anjuran pejabat daerah dengan kerjasama LKIM Terengganu dan persatuan-persatuan nelayan tempatan itu adalah sebahagian daripada  agenda besar dalam mempromosi daerah Marang.


“Kita menumpang nama candat sotong kerana ia telah terkenal. Tetapi, dalam masa yang sama kita memperkenalkan produk lain Marang.

“Antaranya ialah Pulau Kapas yang menjadi lubuk utama candat di daerah ini serta Sungai Marang yang menarik untuk disusuri pengunjung,” katanya.

Beliau juga meletakkan matlamat untuk menjadikan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan terbaik.

“Sekarang, Marang merupakan produk baharu pelancongan Terengganu, insya-Allah selepas setahun, kami meletakkan sasaran bahawa Marang akan menjadi destinasi utama pelancongan negeri Terengganu,” katanya.

Dalam Pesta Candat Sotong 2019 yang berakhir hari ini, pasukan Hexatrand dinobat sebagai johan pertandingan apabila berhasil mendapatkan sotong dengan berat keseluruhan sebanyak 71 kilogram (kg).

Manakala, pasukan Kuda Laut dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat tempat kedua dengan berat keseluruhan sebanyak 61.5kg serta pasukan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) di tempat ketiga dengan 37.5kg.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: