Saturday, 22 June 2019

184 Peserta Sertai Klinik Pembangunan Hoki Terengganu

SHARE
Usaha PHNT mampu lahir bakat berprestasi tinggi. Foto: Media PHNT.
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Seramai 184 pelajar dan guru menyertai Program@Klinik Pembangunan Hoki Bawah 11 dan 16 tahun yang julung kali diadakan di Terengganu.

Program selama dua hari tersebut dianjurkan Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu (MSST) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi membangunkan akar umbi serta mengetengahkan bakat anak negeri dalam sukan berkenaan.

Presiden PSNT, Saberi Salleh berkata, melaluinya para jurulatih cuba mengenal pasti bakat-bakat baharu di kalangan pelajar.

Saberi mahu kekalkan kesinambungan pemain Terengganu.
"Matlamat utama kita adalah untuk membantu takungan pemain supaya ada kesinambungan antara pemain dahulu hingga kini.

"Secara langsung, kita dapat mengekalkan Terengganu sebagai salah satu kuasa hoki negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas perasmian penutup program di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam.

Ilmu THT disampaikan kepada bakat-bakat muda menerusi klinik pembangunan.
Tambahnya, program berkenaan juga berprestij kerana dikendalikan Ketua Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), I. Vikneswaran dengan bantuan 19 tenaga pengajar serta empat pemain THT.

Saberi turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan kerajaan kepada PHNT melaksanakan program itu.

Sebanyak 80 buah sekolah dari seluruh daerah menghantar peserta dalam program tersebut.

Peluang mempelajari dan memperbaiki teknik kawalan bola daripada pemain profesional.
Beliau juga menjangkakan, program itu akan dilaksanakan setiap tahun berdasarkan permintaan dan sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat dan pihak sekolah.

"Hari ini, kita masih ramai pemain Terengganu bertaraf profesional kerana kelompok yang bermain di tahap tertinggi ini masih ada.


"Tetapi, sekiranya program sebegini tidak diadakan daripada sekarang, kita bimbang empat ke lima tahun akan datang pemain-pemain bertaraf tinggi ini tidak akan wujud lagi," katanya.

PHNT berharap usaha ini akan berterusan serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam sukan ini.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: