Thursday, 16 May 2019

West Wharf Berpotensi Catat Prestasi Lebih Baik

SHARE

Ahmad Amzad bersama pengurusan Sukma Samudra sewaktu tinjauan.



Oleh: Syed Kamal

KEMAMAN, 15 Mei - Pelabuhan Sukma Samudra atau lebih dikenali sebagai West Wharf (Dermaga Barat) Pelabuhan Kemaman dilihat berpotensi mencatat prestasi lebih baik pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, untuk suku pertama tahun 2019 Sukma Samudra mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam hasil dan keuntungan berbanding tempoh yang sama, tahun lalu.

Beliau turut memuji pihak pengurusan Sukma Samudra yang dilihat sangat komited dalam perkhidmatan itu.

“Melihat kepada komitmen yang diberikan oleh pengurusan dalam meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan, saya yakin kita berada pada landasan yang betul untuk membuat catatan prestasi yang lebih baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak ke Sukma Samudra bagi meninjau sendiri kemajuan kerja-kerja pembaikan dermaga pelabuhan bersama Pengurus Besar Sukma Samudra, Ashari Mohamad serta pengurusan kanan dermaga itu, semalam.

Selaku Pengerusi Sukma Samudra Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Amzad sempat meninjau ketibaan Kapal Accomodation Vessel Setia Station1 yang bakal beroperasi berdasarkan pelaksanaan kontrak ExxonMobil bernilai lebih RM500 juta yang dianugerahkan kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad.

Beliau turut meninjau kerja-kerja baik pulih kapal KD Gempita milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Terapung EPIC Marine selain beramah mesra dengan anggota TLDM yang ditempatkan untuk mengawasi kemajuan proses pembaikan.

Sukma Samudra Sdn Bhd menguruskan dermaga barat Pelabuhan Kemaman manakala Dermaga Timur diuruskan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd. Kedua duanya adalah anak anak syarikat EPIC Berhad.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: