Wednesday, 22 May 2019

UMT Catat Malaysia Book Of Records Mengaji Tanpa Henti

SHARE

Yahaya (tiga dari kiri) menyaksikan anugerah MBR disampaikan kepada Noraieni.
KUALA NERUS, 22 Mei - Bagi mencetuskan pembudayaan al-Quran dalam kehidupan seharian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menganjurkan Program Mengaji Tanpa Henti selama 123 jam sehingga mencatakan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali berkata, program itu secara tidak langsung akan meningkatkan amal kebajikan serta memperbaiki sahsiah dan rohani warga UMT.

Katanya, beliau berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh UMT kerana ia merupakan satu simbolik untuk menggalakkan umat Islam sentiasa mendampingi al-Quran.

“Sudah menjadi kewajipan kepada orang Islam supaya menjadikan kitab suci itu sebagai teman dan membacanya setiap masa.

“Kita juga perlu berusaha untuk memahaminya dan berdiskusi dengan kalam-kalam Allah lalu beramal dengannya,” ujarnya.

Majlis khatam al-Quran.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perasmian Penutup UMT Mengaji Tanpa Henti dan Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Nuzul Al-Quran, di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr Noraieni Mokhtar, Timbalan Naib Canselor UMT, Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman serta Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pantai Timur Etiqa Takaful, Tengku Saiffudin Tengku Zainal Abidin.

Yahaya turut berharap agar usaha-usaha untuk mendekatkan diri dan masyarakat dengan al-Quran tidak terhenti setakat itu sahaja.

Tambah beliau, sebaliknya inisiatif seumpama itu haruslah dipertingkatkan lagi demi membina masyarakat yang lebih bertamadun.

“Saya yakin dengan menjadikan al-Quran sebagai tonggak utama kehidupan, benteng keimanan akan semakin kukuh, menghindar kita daripada kemungkaran dan azab akhirat,” katanya lagi.

Untuk rekod, program yang bermula sejak tahun 2009 itu dijayakan oleh 500 peserta dan sukarelawan UMT, mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti kanak-kanak berusia 6 hingga 8 tahun, warga emas, Orang kelainan Upaya (OKU) penglihatan, muallaf dan pelajar antarabangsa.

Mereka bertadarus dan menghuraikan al-Quran selama 123 jam tanpa henti sekali gus berjaya mengkhatamnya sebanyak lima kali.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: