Wednesday, 15 May 2019

TNB Terengganu Siap Sedia Tampung Peningkatan Penggunaan Elektrik Sepanjang Aidilfitri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu kini keadaan bersedia untuk menampung penggunaan bekalan elektrik yang bakal meningkat berikutan kepulangan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh, berkata sehingga hari ini kapasiti bekalan elektrik di Terengganu yang melebihi daripada kadar penggunaan dijangka akan meningkat sehingga 30 peratus pada musim perayaan nanti.

“Kini pihak TNB sedang giat menjalankan kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan di semua stesen bekalan elektrik miliknya, sebagai persediaan menampung peningkatan kadar penggunaan elektrik  ekoran kepulangan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri.

"TNB Terengganu juga memastikan semua anggota kerja dan keperluan genset berada dalam keadaan bersedia untuk meminimakan gangguan bekalan elektrik seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa TNB bersama warga media Terengganu di Hotel Grand Puteri, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Nazri berkata, pihaknya juga menyusun jadual tugas dengan menetapkan 10 peratus daripada keseluruhan 900 kakitangan TNB di seluruh negeri untuk bertugas secara bergilir-gilir mengikut syif pada hari raya nanti terutama di lapan stesen bekalan yang terdapat di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, TNB turut merancang  meningkatkan kapasiti bekalannya untuk memenuhi keperluan pertambahan pengguna termasuk pelabur daripada luar negara terutama di beberapa kawasan perindustrian di Terengganu.

"TNB Terengganu sentiasa mengadakan perbincangan dan penyelarasan bersama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur sedia ada untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan projek pembangunan baharu kerana ia antara faktor yang boleh menarik pelabur ke Terengganu," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: