Wednesday, 15 May 2019

Tingkatkan Amal Kebajikan Di Bulan Ramadan

SHARE



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 15 Mei- Aktiviti kebajikan dan segala amalan yang baik perlu diperbanyakkan di bulan Ramadan yang padanya terdapat unsur kemuliaan dan keberkatan serta pahala berlipat kali ganda.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bulan berkenaan sudah Allah SWT pilih untuk meningkatkan darjat ketakwaan yang perlu diburu oleh setiap muslim.

"Kerana itu kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah, menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan juga sahabat handai.

"Untuk mencaknai kebajikan mereka agar mereka juga dapat menjalani ibadat dengan baik dan sempurna pada bulan Ramadan ini,"jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kerusi Roda Wakaf kepada penduduk  Kuala Jengai yang lumpuh dan uzur sempena program ziarah kebajikan, baru-baru ini.

Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Mohd Noor Azian, Pembantu Hal Ehwal Belia i-MiTS DUN Bukit Besi, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Abdul Mubin serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Rozali Mohamad.


Menurut Ghazali, Islam bukanlah mengajar penganutnya agar memperbanyakkan ibadat untuk diri sendiri malah juga menekankan aspek supaya setiap muslim menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain.

Sehubungan itu, beliau turut menyatakan bahawa di antara amalan yang sentiasa menjadi rebutan setiap kali Ramadan adalah memberi makan kepada anak yatim.

"Ianya satu amalan yang mana tokoh politik, usahawan, orang kenamaan akan menggunakan peluang mengadakan kebajikan berbuka puasa dengan anak yatim.

"Organisasi, agensi atau jabatan tertentu juga akan mengambil kesempatan mengajurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Itu suatu kebaikan, namun majlis sedemikian perlu dipastikan agar benar-benar yang diraikan dan dimuliakan adalah anak yatim bukannya bertumpu semata-mata kepada orang kenamaan," jelasnya.

Tambah beliau, seringkali berlaku dalam majlis, orang kenamaan mendapat layanan yang lebih istimewa berbanding anak yatim.

"Sehinggakan anak yatim yang diraikan berebut dan beratur panjang, sedangkan orang kenamaan makanan sudah terhidang di meja makan," jelasnya.

Oleh itu beliau mengharapkan agar anak yatim diraikan dengan benar-benar adil agar beroleh keberkatan pada pihak yang menganjurkan majlis meraikan anak yatim dan juga pihak-pihak yang berusaha melakukan kebajikan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: