Monday, 6 May 2019

Tiada Alasan Untuk Tidak Baca Al-Quran Di Bulan Ramadan

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 5 Mei - Dengan teknologi moden pada masa kini tiada sewajarnya beralasan sukar membaca al-Quran yang boleh diakses dengan menggunakan telefon pintar.

Pegawai Penyelaras, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, umat Islam sewajarnya merebut pahala memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan puasa yang menjadi petunjuk relevan di sepanjang zaman.

"Kini al-Quran terdapat dalam bentuk 'android' dan boleh dibawa kemana-mana sahaja, malah Ramadan kali ini kita mempunyai cukup masa untuk membaca al-Quran termasuk melihat terjemahan, agar menyelinap perasaan takwa dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba kepada Allah.

"Jika pada hari yang lain, kita mungkin akan mempunyai halangan masa, sebagai contoh sebelum masuk ke pejabat, kita akan habiskan masa di kedai makan untuk bersarapan, kini tiada lagi halangan, peruntukkanlah masa dengan sebaiknya untuk mengkhatamkan al-Quran," ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas selesai bertadarus al-Quran di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru ini.

Ghazali berkata, semua kakitangannya termasuk kakitangan Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) diwajibkan untuk membaca al-Quran selama 30 minit setiap hari dan juga saling bantu membantu memperbetulkan bacaan di antara satu sama lain.

"Ianya dibaca dengan dibahagikan kepada beberapa kumpulan, matlamat kita bukan hanya sekadar khatam al-Quran beserta terjemahan, di mana ada yang membaca teks al-Quran dan ada membaca terjemahan dengan cara ini juga ianya memberi peluang kepada pekerja wanita yang didatangi haid untuk turut serta.

" Secara tidak langsung dapat menghindarkan diri bercakap perkara yang sia-sia pada bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar kakitangan yang berkhidmat kali pertama sempena Ramadan ini mampu menjadikan Ramadan sebagai bulan yang mendidik jiwa untuk amanah dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

"Yang akhirnya melahirkan pekerja yang benar-benar ikhlas menjadi pekerja yang bertanggungjawab  ke arah memastikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: