Friday, 3 May 2019

THRDC Ditubuh Tangani Pengangguran Terengganu

SHARE
Ustaz Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), menubuhkan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu atau 'Terengganu Human Resource Development Center' (THRDC) bagi menangani masalah penggangguran di negeri Terengganu .

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  agensi tersebut pertama kali ditubuhkan di negeri Terengganu minggu lepas dan akan beroperasi secepat mungkin.

Katanya, agensi  tersebut berfungsi untuk menangani masalah pengangguran terutama belia dan beliawanis negeri Terengganu.

Agensi tersebut yang dianggotai kira-kira 10 orang petugas, mungkin ada persamaan dengan agensi-agensi lain namun ia akan bekerjasama dengan banyak agensi lain termasuk sebuah agensi pencari kerja popular di Malaysia.

"Tugas yang dilaksanakan ialah mencari mereka yang memerlukan kerja dan mencari pihak-pihak yang memerlukan pekerja.

"Agensi itu akan padankan antara kedu-dua pihak dan semua pihak yang berkepentingan sehingga masalah pengangguran dapat diatasi sebaik mungkin, " jelasnya.

Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan  Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Permata Ballroom,  Permai Hotel di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada agensi berkenaan untuk melaksanakan gerakerjanya terlebih dahulu sebelum satu data khusus mengenai pengangguran Terengganu diperolehi dan memutuskan cara penyelesaiannya.

"Kerajaan akan bagi masa dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk melihat keupayaan agensi itu melaksanakan  hasrat kerajaan tersebut," jelasnya lagi. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: