Sunday, 12 May 2019

Teroka Sumber Pertanian Baharu, Tampung Krisis Harga Sawit Dan Getah

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 12 Mei - Terengganu akan menerokai tanaman pertanian baharu bagi menampung krisis kejatuhan harga sawit dan getah yang memberi tekanan terhadap peladang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketidakstabilan harga getah dan sawit yang berpanjangan dalam pasaran menyebabkan terdapat perubahan terhadap tumpuan utama sektor itu.

Jelasnya, penjenamaan tanaman kontan dan kekal adalah inisiatif  baharu yang perlu diceburi bagi mengatasi masalah tersebut.

"Dengan itu, kita perlu melihat fokus serta tumpuan lain apabila merancang untuk pembukaan tanah pertanian baru.

"Dalam Pelan Strategik Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 memberi tumpuan terhadap tanaman yang menyumbang kepada pengeluaran makanan negeri.

"Samada tanaman kontan atau kekal, itu akan dilihat dan diusahakan bagi membantu para peladang menjana pendapatan mereka," ujar beliau.

Beliau berkata demikian melalui laman rasmi Facebook beliau, semalam.

Azman berkata, tanaman kontan dapat memberi pulangan harian dan ia membolehkan peladang terus memperoleh pendapatan, sekali gus tidak terjejas teruk dengan kejatuhan harga sawit dan getah.

Katanya, anak muda adalah golongan yang digalakkan untuk menceburi tanaman tersebut di ladang masing-masing.

"Generasi muda lebih digalakkan untuk menceburi bidang tanaman kontan kerana ia membuahkan hasil yang cepat serta memberi pulangan ekonomi dalam tempoh yang singkat.

"Saya berharap anak muda yang menceburi bidang ini terus cekal untuk membuktikan bahawa bidang ini bukan kerjaya orang gagal," katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: