Wednesday, 15 May 2019

Terengganu Sedia Pinjaman Jangka Pendek Bantu Peniaga Bazar Ramadan

SHARE
YPU wujudkan skim pinjaman untuk bantu peniaga bazar.


KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Kerajaan negeri menyediakan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan 2019 bagi membantu para peniaga meningkatkan modal dan memenuhi keperluan mereka sepanjang sebulan berniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, skim berkenaan bukannya peruntukan khusus yang termasuk dalam dana Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS).

“Pelaksanaan skim ini merupakan idea yang terbentuk setelah mendapat permohonan daripada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu bagi meringankan beban modal para peniaga bazar Ramadan.

"Oleh itu, kita mewujudkan satu pinjaman jangka masa pendek dengan tempoh pembayaran pada bulan Syawal dengan kadar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap ahli di bawah jaminan persatuan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS) di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, seramai 185 usahawan menerima pembiayaan dana TUGAS melalui skim masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM619,929.

Nurkhuzaini berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 141 merupakan penerima Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM160,500.

“Kita faham peniaga perlu persiapan lebih untuk hadapi Ramadan kerana itu, pembiayaan ini diwujudkan sementara dan kita perlukan jaminan bayaran balik disebabkan ia dipinjamkan daripada peruntukan lain.

“Untuk tahun hadapan, kita akan melihat respon daripada peniaga. Berdasarkan respon tidak langsung, jika dilaksanakan ia mungkin bakal ‘pecah panggung’ berdasarkan keperluan peniaga yang memerlukan modal lebih sepanjang Ramadan," katanya.

Menurutnya, setakat ini masih ada lagi peniaga yang tidak berkesempatan untuk memohon kerana masa dan peruntukan yang terhad.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: