Wednesday, 1 May 2019

Terengganu FC Menang Tipis

SHARE

Malik meraikan gol pertama TFC yang dijaringkannya.

KUALA TERENGGANU, 1 Mei - Terengganu Football Club (TFC) membuka laluan ke peringkat separuh akhir Piala FA apabila menang tipis ke atas  Pahang 2 - 1 dalam suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), hari ini.

Tuan rumah yang turun tanpa kelibat Mohd Ashari Samsudin memperagakan aksi meyakinkan dengan menggasak kubu lawan seawal permainan.

Pada minit ke 9', kesungguhan TFC membuahkan hasil setelah Abdul Malik Mat Arrif yang mendapat lorongan kemas  Lee Tuck mudah menggelecek penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.

Sang Penyu kemudian menambah derita Tok Gajah pada minit 26' apabila Tchetche Kipre menewaskan penjaga gol dalam situasi satu lawan satu selepas kesilapan pertahanan, Herold Mark Goulon yang membuat hantaran lemah ke belakang.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2 - 0.

Memasuki babak kedua, pasukan pelawat mula menggandakan serangan ke kubu tuan rumah dan berjaya menjaringkan gol melalui tandukan kemas Jose Eduardo pada minit ke 57'.

Perlawanan berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan memperkemaskan serangan.

Pahang hampir menyamakan kedudukan, tetapi gol Norshahrul Idlan Talaha di minit 69' dibatalkan pengadil kerana terkena tangannya terlebih dahulu.

Perlawanan berakhir dengan Terengganu membawa kelebihan satu gol untuk aksi kedua di Kuantan, 10 Mei ini.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: