Monday, 20 May 2019

Terengganu Beri Kerjasama Penuh Bina PLVTI Di Kijal

SHARE

Dr Alias (empat dari kanan) dan Hajah Zuraida (tengah) dibawa melawat kilang SANY sebagai tapak PLVTI di Kijal. 
KEMAMAN, 20 Mei - Kerajaan Terengganu amat berbesar hati kerana dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi pembinaan Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) (PLVTI), melibatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), CIDB IBS Sdn Bhd (CIDB IBS) dan Sany Construction (SANY).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan pusat latihan itu adalah satu usaha bersepadu antara tiga komponen penting negara termasuk dari pihak Kerajaan Pusat (KPKT), agensi kerajaan Malaysia (CIDB), anak syarikat kerajaan (CIDB IBS) dan pihak swasta (SANY).

Kerajaan negeri katanya akan memberi kerjasama penuh untuk menjayakan usaha murni ini.

"Kerajaan negeri sangat bertuah kerana SANY telah memilih negeri Terengganu sebagai pusat latihan untuk industri pembinaan terbaharu berteraskan IBS.

"Kerajaan negeri amat berharap industri pembinaan rumah untuk rakyat dapat dipercepatkan, lebih murah dan diperbanyakkan," jelas beliau.


Teks Ucapan Dr Ahmad Samsuri dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak sebagai mewakili beliau di Majlis Pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal IBS di Kijal hari ini.

Turut hadir, Menteri KPKT, Hajah Zuraida Kamaruddin, Pengarah Eksekutif SANY, Chang Bar Kuei dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato' Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

Dr Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, penilaian kejayaan untuk sesuatu negeri dan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata sebaliknya kesejahteraan hidup penduduk dan kelestarian alam perlu diutamakan.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, industri IBS dalam bidang pembinaan bukan sahaja lebih produktif dan mampu mengurangkan kos pengeluaran, bahkan ia juga lebih mesra alam melalui pengurangan pembaziran bahan-bahan binaan.

"Semoga budaya kerja binaan yang bersih dapat diterapkan dalam budaya kerja pembinaan negeri dan negara ini di masa akan datang," ujarnya.

Katanya, penggunaan IBS untuk projek perumahan dan binaan amnya di negeri Terengganu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi manfaat pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri tersebut.


Menurut Dr Samsuri, inisiatif kerjasama latihan IBS berdasarkan reka bentuk pengeluaran dan pemasangan akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

"Justeru, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan hasil dari program latihan pembangunan kerja pengeluaran dan pemasangan IBS serta program pembangunan IBS.


"Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa empat tahun seperti mana manifesto pilihan raya yang lalu," jelas beliau lagi.

Dr Alias (kiri) menerima cenderahati dari Chang. 
Inisiatif kerjasama IBS ini juga katanya, boleh membantu menjayakan beberapa program di bawah Bajet 2019 Negeri Terengganu.

Justeru katanya, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama sewajarnya bagi menjayakan hasrat kerajaan dan rakyat ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: