Friday, 17 May 2019

Sultan Mizan Kurnia Bantuan Fakir Miskin Dan Pelajar Sekolah Sempena Aidilfitri

SHARE
Sultan Mizan mengurniakan bantuan kepada pelajar sekolah terlibat.
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1440H Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Dewan Az-Zahra',Istana Syarqiyah, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato A. Rahman Yahya dan isteri, To' Puan Kamsiah Dollah.

Turut menyambut, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan merangkap pengerusi majlis, Dato' Mohd Fadzli Yusof.

Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai RM500 selain hamper barangan keperluan bernilai RM150.



Di samping itu, seramai 210 pelajar daripada keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai RM200 setiap seorang.

Pada tahun ini juga, sebanyak tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan sama yang melibatkan sejumlah 30 pelajar bagi setiap madrasah.

YDSM juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan penamaan 30 bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negeri di persada kebangsaan dan antarabangsa untuk menerima kurniaan.

Selain itu, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan replika kunci kepada sembilan penerima bantuan rumah di bawah Program Baiti Jannati kolaborasi YDSM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Para pelajar menunjukkan bantuan kurniaan YDSM.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: