Wednesday, 22 May 2019

SMK Panji Alam Harumkan Nama Terengganu Di Mata Dunia

SHARE
Muhammad Khalil Abdul Hadi (lima dari kiri) bersama pelajar-pelajar SMK Panji Alam yang telah memenangi empat anugerah utama.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA NERUS, 22 Mei - Pasukan Inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam telah mengharumkan nama Terengganu di mata dunia setelah merangkul anugerah utama dalam 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (Euroinvent 2019) yang diadakan pada 16 hingga 18 Mei di Palace of Culture in Lasi, Romania.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi melahirkan rasa bangga dan syukur atas kejayaan pasukan tersebut kerana telah berjaya membuktikan kemampuan anak  Terengganu di persada antarabangsa.

Jelasnya, kemenangan dalam beberapa anugerah utama itu secara tidak langsung turut mengangkat reputasi warga pendidik Malaysia.

“Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan inovasi SMK Panji Alam yang memenangi empat anugerah dalam pertandingan antarabangsa yang diadakan di Romania.

“Ia satu kejayaan yang sangat besar dan membanggakan bukan sahaja bagi SMK Panji Alam bahkan kepada kerajaan negeri secara khususnya,” ujarnya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut kepulangan pasukan SMK Panji Alam terbabit di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, Pengetua SMK Panji Alam, Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood serta guru-guru pengiring.

Muhammad Khalil yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri turut berkata, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada sekolah-sekolah lain untuk terus berdaya saing antara satu sama lain.

“Daripada segi sains dan teknologi, sebenarnya Islam menggalakkan umatnya untuk meneroka segala bentuk ciptaan Allah S.W.T untuk kegunaan manusia itu sendiri sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

“Sejarah tamadun Islam telah banyak ditemui oleh ahli sains dan ulama Islam iaitu tamadun Sepanyol, Baghdad, Syria dan lain-lain,” katanya lagi.

Kejayaan yang turut mengharumkan nama Malaysia.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: