Wednesday, 15 May 2019

Sinar Ramadan Khairunnisa’ Sasar Bantu 480 Keluarga - Isteri MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') menyasarkan agihan bantuan keperluan dapur dan wang tunai kepada 480 keluarga kurang berkemampuan dari seluruh daerah bersempena sambutan bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata, Khairunnisa’ mengambil inisiatif mengadakan program berkenaan bagi membantu golongan yang memerlukan menikmati bulan Ramadan dengan lebih ceria dan tenang menjelang Aidilfitri.

Katanya, menerusi program tersebut, Khairunnisa’ secara tidak langsung berperanan sebagai ‘ladang amal’ buat pihak yang mahu menyumbang.


“Peserta yang terpilih adalah dari kalangan mereka yang sebelum ini tidak mendapat apa-apa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau mana-mana pertubuhan yang cakna masyarakat.

“Jadi Khairunnisa’ mengambil satu inisiatif mengadakan program Sinar Ramadan ini bagi menyalurkan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak yang tampil memberikan dana untuk diagihkan kepada mereka yang terpilih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sinar Ramadan Khairunnisa' Peringkat Zon Tengah yang melibatkan Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu di Dewan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kompleks Seri Iman, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.


Dalam pada itu, Tuan Faezah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan di atas kepercayaan kepada Khairunnisa’ yang diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang berhak.

Katanya, agihan sumbangan berkenaan telah diadakan di Besut dan Setiu pada 13 Mei lalu dan akan diteruskan di Kemaman dan Dungun pada 17 Mei ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: