Tuesday, 14 May 2019

'Saya Tuan Rumah, Anda Tetamu' - MB Terengganu

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 14 Mei - "Saya tuan rumah dan tuan puan adalah tetamu saya hari ini," demikian kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika meraikan kira-kira 600 penduduk di Majlis Iftar Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Masjid As-Salam Kijing, di sini semalam.

Ketika berucap di majlis itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang amat berbesar hati meraikan mereka kerana peluang berbuka bersama rakyat itu sebagai tanda menghargai sokongan mereka terhadap kepimpinannya dalam meneraju negeri Terengganu.

Beliau membayangkan bahawa jawatan, kekuatan tenaga dan usia tidak mempunyai apa-apa kelebihan di sisi Allah kerana semuanya akan dipersoalkan di akhirat nanti.


"Betapa besar pun kita di sisi manusia dari sudut jawatan, kekuatan tenaga, usia tua atau muda, kita adalah sama di sisi Allah. Kita akan ditanya kerja buat kita di atas dunia bila sampai waktunya.” jelas beliau.

Beliau berkata, semua kurniaan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya ianya bernilai di sisi Allah.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Hassan Awang dan kakitangan agensi kerajaan yang lain.

Program itu adalah anjuran Pejabat DUN Rhu Rendang dan Jawatankuasa Masjid As-Salam dengan persiapan dibuat secara gotong-royong melibatkan kakitangan Pejabat DUN, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: