Monday, 13 May 2019

Rungutan Peniaga Bazar Ramadan Dibawa Ke Meja Rundingan

SHARE
Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Rungutan peniaga tentang harga sewa tapak Ramadan akan dibawa ke meja rundingan sebelum kerajaan negeri melaksanakan formula baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman menegaskan, masalah yang berpunca daripada sistem pengurusan akan diselesaikan agar tidak berulang pada masa hadapan.

Jelasnya, pihak kerajaan akan berbincang bersama wakil peniaga bagi mencari formula terbaik untuk mengatasi masalah itu seterusnya menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat.

“Tahun ini kita baru terlibat dengan pengurusan, jadi saya melihat kita perlukan lagi penambahbaikan kerana ia melibatkan banyak pihak.

“Masalah berlaku apabila ‘open tender’ orang hanya memikirkan keuntungan, bukan kebajikan kepada peniaga yang menyewa tapak berkenaan.

“Insya-Allah dengan input daripada persatuan penjaja, saya dan pihak keusahawanan akan bawa (isu ini) ke tengah, kita akan duduk semeja sama ada dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Apron kepada peniaga bazar ramadan di Taman Shah Bandar, di sini semalam.


Nurkhuzaini yang hadir mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di bazar berkenaan.

Beliau turut memberi keyakinan formula baharu yang digunakan nanti akan menyelesaikan isu tersebut dan tidak hanya menguntungkan satu pihak.

“Untuk tahun ini saya rasa kita dah terlambat, jadi saya mewakili kerajaan negeri memohon maaf kepada semua peniaga kerana ada sedikit salah faham dalam masalah ini.

“Insya-Allah tahun depan kita akan laksanakan dengan sistem baru yang akan diterima pakai oleh semua pihak,” tambah beliau.

Dalam program itu, Nurkhuzaini sempat menyantuni peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan dan mengagihkan lebih 70 kurma kepada peniaga di situ.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: