Monday, 13 May 2019

`Rugi Kalau Dok Cuba,' Akok Pandan Cicit Pok Chang

SHARE
Muhammad Zhafran (kiri) bersama adiknya Muaz menunjukkan akok pandan asli yang menjadi tarikan pengunjung di Bazar Ramadan Batu Burok

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Ramadan adalah bulan rezeki kepada peniaga yang bijak dan rajin berusaha untuk meraih pendapatan berlipat kali ganda.

Buktinya, dua anak muda yang merupakan adik beradik mengusahakan perniagaan kuih akok pandan asli sejak dua tahun lalu mampu memperoleh pendapatan RM400 hingga RM450 sehari hasil jualan lebih 500 biji dalam masa dua hingga tiga jam di Bazar Ramadan Batu Burok.

Muhammad Zhafran Zainuddin, 24, yang dibantu adiknya Muaz Zainuddin, 18, berkata, keistimewaan  kuih tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan itu apabila ia dibakar terus di lokasi dan dijual dalam keadaan masih panas mengeluarkan aroma yang memikat rasa pelanggan.

Katanya lagi, ramuan asal untuk menghasilkan kuih Akok Pandan Cicit Pok Chang (sempena nama moyang mereka) itu dikongsi kenalannya dari Kelantan dengan hanya menggunakan bahan-bahan seperti tepung, telur, gula pasir dan santan tetapi diolah semula oleh ibunya, Adibah Abd Rashid, 50, yang sememangnya meminati pembuatan kuih-muih tradisional.

"Alhamdulillah, walaupun berdepan kesulitan pada awalnya, namun berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, hampir sebulan juga untuk betul-betul mahir membuat kuih akok berkenaan terutama dari segi rasa dengan sentiasa meminta komen dan bertanya pelanggan mengenai rasa sebelum mak berjaya menghasilkan kuih akok pandan yang setanding dengan penjual di Kelantan.

“Setiap hari kami mampu menjual 500 kuih akok pandan bermula 3 hingga 5.30 petang .Kebiasaannya orang ramai datang selepas waktu bekerja dan mereka sanggup beratur panjang asalkan dapat merasai kuih ini sebagai juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui, di tapak jualan itu, hari ini.


Menurut Zhafran, kelebihan akok yang kurang manis menjadi satu tarikan tambahan kepada peminat kuih tradisional turun-temurun yang popular di negeri Pantai Timur.

“Ia berbeza dengan akok tradisional Terengganu yang lebih manis dan dan bagi mereka yang tidak suka rasa telur akan memilih akok pandan kerana rasanya yang lemak manis dan lebih wangi walaupun masih menggunakan bahan yang sama.

“Harganya pula tidak terlalu mahal dan boleh dinikmati semua pelanggan, ia dijual dengan harga RM2 untuk tiga biji dan RM5 untuk lapan biji,”ujarnya lagi

Kini Muhammad Zhafran dan adiknya, Muaz boleh tersenyum puas apabila perniagaan kuih akok pandan asli semakin mendapat tempat di kalangan penggemarnya sekali gus mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: