Friday, 31 May 2019

Pusat Khidmat Kuala Nerus Giat Ziarah, Bantu Masyarakat

SHARE

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 31 Mei - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) giat melaksanakan usaha ziarah dan menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat sempena bulan Ramadan melalui program Ziarah Mahabbah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program ziarah itu merupakan aktiviti rutin setiap minggu bertujuan melihat perkembangan dan menyantuni permasalahan rakyat di sekitar kawasan tadbirnya.

“Sepanjang Ramadan, usaha ini diperkuatkan supaya dapat membantu meringatkan beban rakyat terutama ketika menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.

“Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini termasuklah ziarah, agihan makanan percuma, pemberian baju raya percuma, serta lain-lain,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Program Ziarah Mahabbah berlangsung di Kampung Gong Badak 4, diketuai oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Syafi'i, mewakili Dr. Khairuddin.

Turut hadir, pegawai-pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Badak 4.

Dalam program tersebut, PKAPKN menyantuni tiga buah keluarga yang diuji oleh Allah SWT dengan kesakitan dan kemiskinan dengan menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada mereka.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: