Sunday, 26 May 2019

Proses Permohonan Tabung Darul Iman Dipermudahkan

SHARE
Alias Harun menyerahkan cek TDI kepada penerima.

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 Mei – Kerajaan negeri memudahkan urusan memohon Tabung Darul Iman (TDI) bagi memastikan ramai rakyat yang berkelayakan menerima manfaat itu tanpa berdepan banyak halangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, usaha berkenaan sebagai tanda kecaknaan Kerajaan Terengganu terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Jelasnya, syarat dan prosedur permohonan untuk mendapat manfaat TDI  dilonggarkan supaya semua yang berkelayakan tersenarai sebagai penerima.

“Kerana orang-orang yang susah dan miskin sangat terhad kemampuan mereka untuk memenuhi syarat-syarat yang menyukarkan mereka seperti terpaksa keluarkan RM40 untuk borang kelulusan.

“Sekarang hanya perlu isi borang dan minta tandatangan doktor serta cop untuk pengesahan,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan penyerahan cek TDI kepada tujuh orang penerima di DUN Rantau Abang, di sini, baru-baru ini.

Alias berkata, untuk 2018 seramai 70 pesakit dari DUN tersebut menerima bantuan itu sama ada dalam bentuk cek atau lampin pakai buang dan susu.

Katanya lagi, permohonan untuk tahun ini juga diperluaskan, sekali gus akan memberi lebih banyak peluang kepada pelbagai golongan.

“Kali ini penerima ada yang kena strok, kemalangan, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka sememangnya layak untuk terima bantuan tabung ini.

“Terima kasihlah kepada TDI kerana peka kepada masyarakat yang betul-betul memerlukan bantuan untuk keperluan kehidupan mereka,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: