Monday, 6 May 2019

Program Tautan Kasih Sediakan Kediaman Selesa - Isteri MB

SHARE
Tuan Faizah melakukan gimik mengecat rumah sebagai tanda perasmian.
Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 6 Mei - Program Tautan Kasih yang dilaksanakan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang mampu meringankan kesusahan masyarakat setempat termasuk membantu mereka memiliki kediaman selesa.

Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, sumbangan daripada orang ramai dan syarikat Tradewinds International Insurance Brokers itu bakal merubah nasib keluarga di Marang yang selama ini hidup dalam kedaifan.

Jelasnya, tempat berteduh sememangnya menjadi aset yang sangat bernilai untuk hidup dan melakukan aktviti harian dengan keadaan yang selesa.

“Sudah pasti dengan sumbangan ini, kita akan dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk hidup dengan lebih sempurna.

“Alhamdulillh, program Tautan Kasih ini sedikit sebanyak kita berjaya memberi mereka lebih kemudahan, walaupun kita tak mampu untuk tolong semua, tapi paling kurang kita redakan sedikit kepayahan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Tautan Kasih di Kampung Rusila, di sini, kelmarin.


Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang, Yusof Abdul Hadi dan wakil Syarikat Tradewinds International Insurance Brokers, Zarina Mohd Sahim.

Tuan Faizah turut berkata, usaha berkenaan juga bertujuan untuk merealisasikan harapan kerajaan negeri bagi membina masyarakat yang sejahtera dengan melayani setiap keperluan rakyat dengan adil.


Beliau juga sangat menghargai sumbangan semua pihak termasuk syarikat Tradewinds International Insurance Brokers yang banyak membantu merealisasikan harapan rakyat.

“Program ini juga adalah untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menjayakan misi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.


“Dalam projek ini syarikat Tradewinds International Insurance Brokers telah memberi sumbangan sebanyak RM49,000 bagi membantu usaha membaik pulih sekurang-kurangnya lima buah rumah penduduk di Daerah Marang,” tambah beliau.

Projek membaik pulih rumah di Kampung Rusila adalah projek terbaru yang berjaya dilaksanakan oleh pertubuhan tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: