Sunday, 12 May 2019

PITAS 2030 Dalam Rancangan Struktur Terengganu 2050 - MB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Kerajaan negeri akan mengambil kira dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dalam pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 yang sedang dirangka ketika ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, model polisi dan pentadbiran jangka panjang bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030 itu akan diperincikan bagi membolehkan peranannya diharmonikan dengan Rancangan Struktur tersebut.

Katanya, selain pandangan rakyat, maklum balas dan perancangan pihak berkepentingan termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

“Pandangan itu akan diperincikan, diperhalusi dan diambil kira dalam menyediakan Rancangan Struktur sebenar.

“Yang penting adalah kita mendapat pandangan daripada rakyat dan dalam masa sama maklum balas serta perancangan daripada pihak lain seperti ECER dan MRL termasuk dasar serta falsafah kerajaan negeri melalui PITAS 2030 yang akan turut diambil kira dalam memastikan rancangan ini bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti & Penyertaan Awam dan Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dato’ TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak.

Menurut Ahmad Samsuri, semua pihak yang berkepentingan diberi peluang untuk meneliti, menyemak dan mengemukakan maklum balas terhadap Draf Rancangan Struktur itu dalam tempoh empat minggu bermula awal bulan ini hingga 2 Jun depan.

Katanya, semakan boleh dibuat di 10 lokasi iaitu di Pejabat PLANMalaysia (Tingkat 4, Wisma Negeri), lobi utama semua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT), lobi Wisma Darul Iman dan lobi utama Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Sementara itu, Rokibah berkata, Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050  dijangka dapat disiapkan pada Oktober depan dan akan sekali lagi dibawa bagi dibentangkan kepada orang awam untuk pandangan dan bantahan.

“Draf ini antara lain mencadangkan konsep dan strategi pembangunan untuk mengukuhkan wilayah di Terengganu. Kita mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai zon promosi pembangunan dan akan turut membangunkan bersama wilayah Utara membabitkan Setiu dan Besut di samping Barat (Hulu Terengganu) dan Selatan (Kemaman dan Dungun).

“Kita juga mengenal pasti kawasan yang sesuai atau tidak sesuai untuk dibangunkan dan apakah strategi untuk mengatasi isu termasuk banjir dan lain-lain di samping mengambil kira manfaat projek ECRL yang akan diteruskan bagi membolehkan kita menjana pembangunan di Terengganu,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: