Sunday, 12 May 2019

Peningkatan Pesakit Strok Semakin Membimbangkan

SHARE

Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Penyakit strok menyumbang kepada satu perempat daripada jumlah kematian di Malaysia dan  statistik tersebut bukan semakin menurun, sebaliknya semakin ramai menghidap penyakit kronik itu dan ianya amat membimbangkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, Dewan Undangan Negeri ( DUN) Buluh Gading turut mencatatkan rekod paling ramai pesakit strok ketika program ziarah  dilaksanakan.

“Kebanyakan orang tidak mahu menjalani pemeriksaan kesihatan kerana bimbang tahu ada penyakit, bila tahu ada penyakit, maka pemakanan pun mula lah kena kawal, itu yang tidak seronok.

“Walaupun tekanan darah pesakit tidak tinggi, namun kadar bacaan kolestrol dalam darah adalah sangat tinggi dan ini sangat bahaya, bimbang penyakit datang secara tiba-tiba tanpa amaran,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pemeriksaan Kesihatan Percuma Dan Saringan Kahak Tibi di Pekarangan Masjid Kampung Kubang Jela yang dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Jela dengan kerjasama Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN), pagi semalam.

Menurut Ustaz Ridzuan, pepatah arab ada menyebut bahawa tindakan berjaga-jaga itu lebih baik daripada mengubati.

“Setiap penyakit yang datang dan kesembuhan sememangnya dari Allah SWT, namun kita sebagai hamba haruslah berusaha untuk mengelaknya.

“Kita sebagai orang beriman haruslah tabah dan sabar, dan menerima sebarang penyakit sebagai ujian, walaupun telah melakukan langkah-langkah pencegahan sebelum ini. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya,”katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: