Wednesday, 1 May 2019

Penduduk Dinasihat Henti Gejala Vandalisme

SHARE
Dr. Alias seru penduduk rumah pangsa bersama jaga kemudahan yang disediakan. 
KUALA NERUS, 1 Mei - Rakyat yang mendiami rumah pangsa di beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu dinasihatkan menghentikan gejala vandalisme yang didapati semakin meningkat di kawasan kediaman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, untuk Terengganu setakat ini tiada aduan dikemukakan berkenaan rumah pangsa atau flat yang mengalami masalah struktur sebagaimana yang terjadi di negeri lain kerana kebanyakannya masih baharu.

“Sebaliknya, masalah yang timbul di kawasan rumah-rumah pangsa ini adalah perbuatan khianat dan vandalisme yang dilakukan oleh sebahagian penduduk sendiri.

“Ada di antara mereka merosakkan kemudahan awam dan membuat hadangan-hadangan yang membahayakan penduduk lain,” katanya ketika ditemui pemberita slepas merasmikan Occupational Safety & Health (OSH) Day 2019 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini semalam.

Turut hadir, Pengurus Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Che Sulaiman Che Pa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) Terengganu, Rokiah Mohamad.

Dr. Alias menyatakan, penduduk perlu bertanggungjawab menjaga kemudahan di kawasan kediaman mereka sendiri tanpa mengharapkan pihak kerajaan sepenuhnya.

“Kita mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap kawasan flat di bawah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) salah satunya untuk berperanan sebagai pemantau mengawal keadaan ini.

“Setakat ini, kita belum mengambil tindakan undang-undang kerana didapati sebahagian perbuatan ini dilakukan golongan remaja yang belum matang. Namun, kita telah melaksanakan sesi penerangan dan pendidikan di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, isu tersebut tidak kritikal tetapi menunjukkan trend meningkat dan ia wajar dihentikan segera.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: