Saturday, 18 May 2019

Penantian Dua Tahun Berakhir, Rumah OKU Dibaikpulih

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 18 Mei - Selepas menanti selama dua tahun, akhirnya Ahmad Syawal Arifin menerima bantuan baik pulih rumah yang diseliakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang.

Syawal yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran, tinggal di rumah peninggalan arwah ibu bapanya seorang diri di Kampung Bukit Che Ali, Kijing.

Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Sopi Mohamad berkata, pihaknya telah mengangkat permohonan  di bawah peruntukan sebanyak RM8,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri pada bulan Mac  baru-baru ini.

"Saya bersyukur kerana dalam masa sebulan sahaja, proses permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak atasan seperti yang diharapkan.

“Proses membaik pulih rumah Syawal mengambil masa lebih kurang tiga minggu sebelum kerja-kerja pembinaan bermula awal Ramadhan lalu," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah Syawal.


Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penyelia Pusat Khidmat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit, Che Ali Rosdin Khayim.

Terdahulu, seramai 15 kakitangan JKM Marang dan MPKK  telah bergotong royong bagi proses membaik pulih termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Mardiah Mohamed.

Sementara itu, Wahad yang ditemui berkata, pihak pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menyatakan perasaan gembira kerana rumah Syawal dapat disiapkan sebelum menjelang Aidilfitri.

"MPKK Bukit Che Ali dan penduduk sekitar juga komited dalam memberikan khidmat dan kerja-kerja membersih rumah yang belum sempurna secara gotong royong.

“Kita akan terus memberi bantuan sebaik mungkin sekiranya diperlukan, supaya Syawal dapat tinggal dalam persekitaran yang selesa dan selamat," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: