Friday, 3 May 2019

Peluang Tersedia Di Karnival Bukit Payong Terengganu Sejahtera

SHARE

Mohd Nor dan Wan Sukairi melakukan gimik perasmian karnival.
MARANG, 3 Mei - Karnival Bukit Payong Sejahtera yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin menyediakan peluang kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong memperoleh bantuan dan dana yang disediakan Kerajaan Terengganu melalui agensi dan jabatan-jabatan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memohon seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat memanjangkan program itu kepada anak-anak buah masing-masing supaya lebih ramai mendapat peluang tersebut.

“Karnival ini mendekatkan agensi dan kepimpinan kerajaan dengan rakyat. Saya dimaklumkan, program ini melibatkan 24 agensi kerajaan, 10 syarikat swasta dan 5 NGO yang menyajikan pelbagai aktiviti dan pameran kepada pengunjung yang hadir.
 
Kerjasama MPKK antara tunjang penting kejayaan program.
“Dengan pembabitan ini, secara tidak langsung ia membuka peluang rakyat mendapat maklumat berkaitan bantuan dana dan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, merasmikan Karnival Bukit Payong Sejahtera dan Perhimpunan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Perkarangan Pasar Kampung Kedai Buluh, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bukit Payong, Mat Noh Ismail.


Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak yang menjayakan penganjuran program tersebut.

“Karnival ini memberi ruang kepada rakyat di sini untuk menyelesaikan beberapa urusan dengan lebih mudah dengan adanya kaunter-kaunter perkhidmatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.

"Selain itu, ia menjadi peluang kepada peniaga memperkenalkan barangan masing-masing serta anak-anak menyertai aktiviti sebelum Ramadan,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: