Sunday, 19 May 2019

Bantuan Kebajikan Terhidang Untuk Rakyat Terengganu

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 19 Mei - Bantuan untuk rakyat merupakan agenda terpenting Kerajaan Terengganu dalam usaha memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan terjaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif disediakan antaranya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman serta Bantuan Am Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak mengabaikan kebajikan rakyat apabila tibanya musim-musim tertentu, dana seperti bantuan bencana banjir, kelengkapan awal persekolahan, pendahuluan memasuki institusi pengajian tinggi, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan baiki rumah antara yang boleh dimohon oleh semua.

"Tentunya pada setiap kategori bantuan, tidak semua rakyat akan terima. Bantuan kelengkapan sekolah di Jabi pada awal tahun ini contohnya, kita sampaikan kepada lebih 3,200 orang murid.

"Tahun ini dengan peruntukan yang ada, sebanyak 72 buah rumah disenaraikan untuk dibaiki di Jabi termasuk tujuh buah yang akan dibina baru.

"Setiap bulan kita agihkan sekitar 20 keping cek bantuan Tabung Darul Iman kepada pesakit kronik. Mereka yang terima bantuan bulanan susu dan lampin pakai buang berjumlah ratusan orang di Jabi," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, untuk Dana Raya tahun ini, seramai 2,500 orang penerima yang paling layak telah dikenal pasti walaupun ramai yang merasakan mereka layak.

"Penerima yang dah terima zakat MAIDAM, tentunya nama mereka tak ada lagi dalam senarai JKM. Yang dah terima Tabung Darul Iman, tak ada lagi senarai dalam penerima zakat. Begitulah secara sama rata kita cuba agihkan bantuan supaya sedikit sama merasa," katanya lagi.

Tambahnya, sekiranya ada rakyat Jabi yang layak tetapi tercicir dari menerima sebarang bantuan kebajikan, beliau memohon agar perkara itu dimaklumkan segera kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Pejabat ADUN Jabi.

"Dalam program jelajah turun ke MPKK, hal ini selalu saya ingatkan. Jangan sampai ada rakyat kita yang layak terima bantuan tercicir tanpa dapat apa-apa pun. Jika berlaku, ini adalah kecuaian yang perlu diperbaiki segera," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: