Wednesday, 1 May 2019

Peka Aspek Keselamatan Dan Persekitaran Tempat Kerja - Dr. Alias Razak

SHARE
Dr. Alias melihat peralatan yang digunakan anggota keselamatan dan kecemasan di lapangan terbang.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 1 Mei - Persekitaran kerja yang selamat dan kondusif perlu diutamakan agar para pekerja dapat menjalankan tugas dengan selesa, selamat dan sihat selain menjamin keselamatan orang awam yang berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kebanyakan orang awam mengambil ringan aspek keselamatan kerana menganggap kemalangan di tempat kerja jarang berlaku.

“Program yang diadakan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) ini dapat memperkenalkan pelbagai aspek keselamatan dan kesihatan yang perlu diambil berat oleh para pekerja dan masyarakat.

“Kempen untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja ini juga selaras dengan hasrat negeri yang mengangkat kepentingan mengutamakan keselamatan rakyat melalui pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan (OSH) DAY 2019 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), semalam.
 
Che Sulaiman menyampaikan cenderahati kepada Dr. Alias.
Turut hadir, Pengurus LTSM, Che Sulaiman Che Pa, Pengurus Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) LTSM, Ahmad Latif Ahmad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Rokiah Mohamad.

OSH Day merupakan kempen keselamatan yang berlangsung secara serentak di 19 lapangan terbang dan sembilan anak syarikat Malaysia Airports di seluruh negara.

Ia turut disertai pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Kesihatan daerah dan Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dr. Alias yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, inisiatif program yang dianjurkan dapat membina hubungan baik dan penyelarasan antara agensi kerajaan terlibat.


Dalam pada itu, Che Sulaiman turut memaklumkan, pihaknya sentiasa mengadakan siri latihan berskala kecil dan besar kepada anggotanya sebagai kesiagaan dalam menghadapi kemalangan atau bencana luar jangka.

“Bagi latihan skala besar seperti simulasi kapal terbang terhempas dan kecemasan lapangan terbang, kita akan adakan setiap dua tahun melibatkan pelbagai agensi keselamatan kerajaan,” katanya.

Bersama wakil pihak terlibat yang menjayakan OSH DAY.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: