Friday, 31 May 2019

Operasi Bersepadu MBKT-PKD Selepas Aidilfitri Ini

SHARE
Petugas MBKT menjalankan operasi membersih Sungai Hiliran berhampiran Pasar Chabang Tiga.
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu  akan mengadakan operasi bersepadu di semua pasar di daerah ini bagi memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Haji Shahidan Embok berkata, operasi itu akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, bagi masalah sampah di longkang Pasar Chabang Tiga, pihak MBKT telah membuat perbincangan dengan pihak PKD untuk menjalankan operasi bersepadu di semua pasar termasuk Pasar Chabang Tiga bagi memastikan kebersihan pasar sentiasa dijaga.

"Ini  sekali gus bagi membanteras aktiviti pembiakan jentik-jentik di kawasan pasar dan operasi tersebut dijangka bermula selepas musim perayaan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu menyentuh operasi pembersihan Sungai Hiliran di sini, beliau menjelaskan bahawa operasi pembersihan perangkap sampah di kawasan pasar itu telah dilakukan pada 28 dan 29 Mei lalu.

"Kerja-kerja pembersihan perangkap sampah sentiasa dijalankan apabila sampah yang terdapat di perangkap sampah tersebut telah banyak dan bukannya dilakukan berdasarkan kepada aduan yang diterima.

"Kerja-kerja pemantauan lokasi perangkap sampah yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu sentiasa dilakukan bukan sahaja perangkap sampah di Pasar Chabang Tiga," jelasnya.

Menurut Haji Shahidan, seramai 10 orang anggota dikerah dengan menggunakan masing-masing sebuah Bulldozer dan lori tiga tan serta peralatan yang berkaitan, setiap kali operasi pembersihan perangkap sampah dijalankan.

Katanya, operasi itu dilakukan oleh 'Unit Flying Squad' di bawah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT.

"Jika sampah terlalu banyak, MBKT menggunakan lori enam tan untuk mengangkut sampah, kemudian dibuang ke tempat pelupusan sampah di Sungai Ikan, Kuala Nerus.

"Biasanya kita akan buat operasi semasa air menghala surut kerana semua sampah akan dibawa arus ke perangkap sampah," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: