Monday, 13 May 2019

OKU Bakal Dapat Dana Raya

SHARE
Dato' Tengku Hassan (tujuh dari kiri) menyantuni pelajar miskin di Stadium Negeri.
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan negeri menyediakan dana raya untuk dua golongan yang berkelayakan termasuk golongan miskin dan orang kelainan upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, dana tersebut akan diagih kepada mereka yang berkelayakan sebelum menjelangnya Aidilfitri nanti.

Justeru katanya, mereka yang dikategorikan termasuk dalam golongan tersebut boleh memaklumkan nama, alamat tempat tinggal dan nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) mereka ke  pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sentuhan Kasih Ramadan PETRONAS 2019, di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Dato' Tengku Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan dari Yayasan PETRONAS kepada pelajar kurang berkemampuan di Stadium Negeri.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Hajah Zuraida Md Noor, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Datuk Wan Hasnan Wan Abdullah dan Timbalan Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu Nasrul Hakim Md Noh.

Dato' Tengku Hassan berkata, kerajaan Terengganu telah bersetuju untuk mengeluarkan dana raya kepada anggota keluarga yang berpendapatan RM1,100 ke bawah dan OKU tanpa mengira pendapatannya, sebelum Aidilfitri ini.

Beliau yang juga ADUN Ladang berkata, kerajaan bercadang untuk menyerahkan dana raya itu kepada kira-kira 2,500 orang penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sahaja.

Dijangka tidak kurang 2,000 penerima di setiap 31 kawasan DUN lain, bakal menerima bantuan tersebut tidak lama lagi.

"Kita sedang mengumpul nama-nama melalui MPKK yang bekerja keras untuk mempastikan mereka berkenaan mendapat bantuan itu sebelum hari raya puasa," jelasnya.
Dato' Tengku Hassan (empat dari kanan) melayani pelajar kurang berkemampuan sebelum waktu berbuka puasa di Majlis Sentuhan Kasih PETRONAS 2019 di Stadium Negeri.

Menurutnya, urusan untuk mendapatkan dana itu amat mudah bergantung situasi sebenar seseorang pemohon.

"MPKK akan melihat kelayakan pemohon dengan syarat memberi maklumat nama, nombor kad pengenalan, alamat tempat tinggal dan nombor akaun BSN.

"Kerajaan negeri akan hantar wang berkenaan melalui akaun bank tersebut, tidak perlu melalui agensi lain," jelasnya.

Katanya, kerajaan juga mengagihkan sebanyak 2,000 kampit beras dan kurma kepada penduduk miskin di kawasan tersebut sempena ketibaan Ramadan.

Kerajaan juga memperuntukkan program membaiki rumah penduduk berpendapatan rendah, sebanyak RM11,000 sebuah manakala rumah yang perlu dibina semula dengan peruntukan RM58,000 sebuah.
Antara pelajar kurang berkemampuan berbuka puasa di Majlis Sentuhan Kasih PETRONAS 2019 di Stadium Negeri.
"Oleh kerana banyak lagi rumah yang terpaksa dibaiki untuk tujuan menyambut hari raya maka peruntukan dikeluarkan dari ADUN Ladang sendiri.

"Kita telah bersetuju untuk membaiki lebih kurang 20 buah rumah serta-merta di DUN Ladang dengan nilai sebanyak RM10,000 sebuah dan kita mahu pastikan rumah berkenaan dapat digunakan untuk berhari raya," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: