Thursday, 23 May 2019

Muafakat MPKK Felda Jerangau Selesai Masalah Jenayah

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 23 Mei- Kesibukan menunaikan tarawih dan menguruskan Dana Raya Aidilfitri untuk penduduk tidak mengganggu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau untuk  mengawal keselamatan serta menyelesaikan masalah jenayah setempat.

Timbalan Pengerusi MPKK Felda Jerangau Cawangan A, Mohd Ridhuan Yusoff berkata, kerjasama antara MPKK, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) berjaya menyelesaikan aduan penduduk mengenai kehilangan motosikal dan kecurian tong gas di Surau Naseri Felda Jerangau, di sini, baru-baru ini.

"Kita telah pun berjaya menangkap pencuri motosikal dan tong gas berkenaan, manakala  motosikal juga telah ditemui semula.

"Ianya adalah hasil kesepakatan bersama yang melibatkan seluruh pihak dan seluruh penduduk kampung yang tidak mendiamkan perkara ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman di Pondok Kawalan Keselamatan kampung itu, semalam.

Ridhuan berkata, antara pihak yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran kawalan keselamatan itu sejak dulu lagi adalah Pengerusi MPKK Felda Jerangau Cawangan B, Anuar Omar.

"Kita telah mengenal pasti bahawa jenayah kecurian itu adalah berpunca dari mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Dalam satu operasi besar-besaran yang dilakukan baru-baru ini dengan kekuatan 30 petugas sukarelawan bersama PDRM, kita berjaya memberkas dua orang suspek yang disyaki beserta barang bukti di dua lokasi yang berbeza. Ini juga adalah hasil dari aduan dan laporan orang ramai," katanya.


Beliau amat bersyukur kerana kawalan keselamatan yang diwujudkan itu mampu mengekang kegiatan jenayah dari terus berleluasa.

Katanya, dengan inisiatif bersama itu juga berjaya menjaga keselamatn dan kesejahteraan kampung, sekali gus berusaha mencapai sifar jenayah setempat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: